Sabtu, 22 September 2007

Kotak Merah



Saya tahu pasti ada yang tersenyum melihat gambar ini. Untuk yang kurang pasti atau buat-buat tidak pasti, ini adalah kad ahli untuk kelab karaoke Kotak Merah. Saya kurang pasti nama malaun mana yang tertera pada kad tersebut. Tapi satu kepastian yang tiada kompromi, kad ini adalah milik kita bersama. Dalam erti kata lain, ianya milik The jong's. Kad ahli ini adalah sumbangan ikhlas dari Sheikh Safuan yang dilanggani sebelum pemergian beliau ke timur tengah. Kad ini selamat sampai ke peti surat rumah saya pada hari Jumaat bersamaan 21 Oktober 2007. Bukan itu sahaja, kad tersebut didatangkan bersama vaucer tunai bernilai RM 50 dan percuma dua jag minuman berkarbonat. Dan ianya sah sehingga 15 November 2007.

Memandangkan kita telah lama tidak aktif dalam aktiviti karaoke ini, maka saya merasakan situasi ini seperti pucuk dicita, ulam mendatang. Dan ianya tidak seharusnya kita lepaskan begitu sahaja. Jadi saya amat berharap maklum balas dari anda semua berkenaan dengan masa dan lokasi yang sesuai untuk kita bersama menikmati peluang terbaik ini. Seperti kebiasaannya setiap sesi karaoke kita mempunyai temanya yang tersendiri. Dan untuk kali ini, saya ingin mencadangkan agar tema kali ini kita namakan Tribute to Peah sebagai ucapan terima kasih kita semua kepada sumbangan ikhlas ini.

Dan untuk sesi karaoke itu nanti, pada jam yang pertama hanya lagu-lagu yang pernah didendangkan atau menjadi kegemaran Peah sahaja akan dibenarkan berkumandang. Ini peraturannya. Tiada sesiapa akan terkecuali. Jadi pada jam yang pertama disesi karaoke itu nanti, tidak akan ada kedengaran lagu Fazli Zainal, Faizal Tahir, Anuar Zain atau Hattan. Begitu juga dengan lagu Nusa bangsa dan lagu Ruth Sahanaya. Namun selepas tamat jam yang pertama anda bebas untuk medendangkan lagu kegemaran anda semua. Ketika itu berkaraokelah kita semua sampai lebam. Berkaraokelah dengan cemerlang, gemilang dan terbilang!

Segala cadangan dan idea boleh di utara-selatankan di ruangan komen pada artikel ini. Kerjasama dari semua jong amat dibutuhkan.

Tiada ulasan: