
Perkara yang paling pelik dalam dunia ini adalah kenangan. Tidak kiralah pahit atau manis, baik atau buruk, indah atau jelik, yang pasti semua punya nilai dan estetikanya yang tersendiri. Semuanya akan berasak menghuni setiap inci ruang bahagian akal yang kekal. Biar sekuat mana pun kita cuba untuk mengosongkan ruang ini, ia akan kekal di situ dan sebati sehingga akal ini berhenti berfungsi. Begitulah yang saya rasakan ketika ini. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini saya begitu merindukan rumah Tysim yang dulunya kerap menjadi destinasi pelepas tekanan bagi kita semua. Di sana segalanya bebas. Bebas dalam erti bebas menjadi diri sendiri. Melakukan apa yang kita suka dengan tenang dan nyaman tanpa pengaruh persekitaran.
Di sana kita dapat menikmati hari-hari sentosa yang selama ini kita abaikan demi komitmen yang lainnya. Di Tysim atmosferanya ternyata menyenangkan. Sukar untuk saya terjemahkan dalam perkataan kerana tiada perkataan yang dapat menterjemahkan rasa tersebut dengan tepat. Tanyakan saja pada Zia, berapa ekor nyamuk disepanjang pantai Teluk Kemang yang berjaya dibunuhnya dengan semburan aeresol? Gila tapi benar. Tanyakan pula pada butet berapa ekor nyamuk yang mati kekenyangan menghisap darahnya saat dia membungkang tak sedarkan diri di lantai ruang tamu? Ini juga kisah benar. Lihat pula kesan sunburn yang dialami oleh Peah berpunca dari tabiatnya yang gemar berkubang di pantai. Ini adalah antara kenangan pelik yang terangkum di rumah Tysim yang sungguh luarbiasa.
Terus-terang saya katakan, saya sangat terhibur bila berada di sana. Segala aktiviti dapat dilaksanakan. Dari bermain bola ke sepak takraw yang menggunakan kerusi plastik sebagai jaring ( Peah selalu bermain cheneke untuk menang ). Selepas puas bertandak, berlarilah kita semua ke pantai untuk menikmati air masin yang semakin masin di port dickson. Selepas sahaja mandi, kantung perut perlu diisi. Majulah kita semua waktu itu ke restoran seafood di seberang jalan bagi menikmati makan malam. Betapa indah kenangan ini. Walaupun pernah ada sedikit gangguan dari si rempit durjana waktu malam merdeka kita di sana. Namun itu tidak pernah sedikit pun mencacatkan keabadian Tysim yang tersergam putih lagi bersih.
Saya adalah entiti yang percaya bahawa kita hidup hari ini adalah untuk masa depan dan bukan sebaliknya. Namun ada ketika dan waktunya kenangan itu bisa membuat kita terfikir sejenak, Apakah yang kita kejarkan hari ini lebih nyaman dari yang semalamnya?

