Ahad, 16 Disember 2007

Akikah buat Harith Fazwan



Al salam,

Saudara saudari adalah dijemput secara kordial (bukan oren kordial) untuk memeriahkan majlis akikah anak saya, En Harith Fazwan bin Rohizwan di rumah saya, butiran lanjut adalah seperti berikut: -


Tarikh: Sabtu, 22 Disember 2007

Masa: 12.00 tengah hari - 3.00 petang

Tempat: No.16, Jalan PUJ 9/4, Taman Puncak Jalil, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.


Adalah dimaklumkan bahawa jalan masuk ke Taman Puncak Jalil melalui Lebuhraya Bukit Jalil sedang dalam proses pembaikpulihan. Oleh itu, saudara saudari tidak boleh mengakses jalan tersebut dan terpaksa masuk ke Taman Puncak Jalil melalui Taman Kinrara. Cara-caranya adalah: -

1. Cari jalan ke Taman Kinrara dan apabila sampai ke sana, cari landmark utama kawasan tersebut iaitu Giant Hypermarket terbesar di Malaysia, Giant Hypermarket di BK5 (Bandar Kinrara 5).

2. Apabila menjumpai Giant tersebut, pastikan saudara saudari melalui jalan utama di mana Giant Hypermarket tersebut berada di sebelah kanan saudara saudari dan hanya jalan terus tanpa membelok sama ada ke kiri mahupun ke kanan sehinggalah kira-kira hampir 5 kilometer saudara saudari akan sampai ke jalan mati dan terpaksa membelok ke kanan menghala ke kawasan perumahan pangsa (flat).

3. Jalan terus lagi sehingga jumpa simpang tiga, ambil belokan ke kanan.

4. Jalan terus, saudara saudari akan berjumpa dengan Esso di sebelah kiri saudara saudari. Ambil laluan ke kiri kerana sejurus selepas Esso tersebut saudara saudari hendaklah membelok ke kiri.

5. Sesudah membelok ke kiri, sila terus belok ke kanan (1) dan selepas itu terus lagi membelok ke kanan (2) (immediate right) di jalan tersebut.

6. Jalan terus, saudara saudari akan melalui taman permainan kanak-kanak, selepas itu melepasi belokan ke kanan yang pertama, abaikan. Belokan ke kanan yang kedua, saudara-saudari ambil, dan di situlah Jalan PUJ 9/4; carilah rumah bernombor 16 (akan ada khemah disediakan, saudara saudari tidak akan terlepas pandang).

Di harap saudara saudari sudilah kiranya memeriahkan majlis akikah cum house warming saya pada hari tersebut.


Sekian, terima kasih.

Ahad, 2 Disember 2007

Datang dan pergi...



Kita telah pun sampai ke penghujung episod 2007. Segala yang berlaku pada tahun ini, bakal tersimpan dalam lipatan sejarah untuk tempoh kurang dari sebulan sebelum tiba 2008. Tahun ini terlalu sarat dengan pelbagai bentuk emosi,komplikasi dan eksistensi yang terjadi di dalam usaha untuk merealisasikan kebebasan abstrak maupun materi masing-masing. Berjaya atau tidak, bukan lagi persoalan pokok.Yang penting kita melalui segala cabaran ini dengan berani dan lebih utama, kita laluinya dengan cara dan pilihan kita sendiri tanpa perlu ada basa-basi.Setiap detik dikira saat, saat berubah minit, minit menjadi jam, jam bertukar hari, hari berganti minggu, minggu beranjak bulan, bulan bersalin tahun dan perubahan ini akan terus menyumbang kepada kematangan roh dan fizik pada jiwa-jiwa entiti yang eksisten.

Di babak-babak terakhir 2007 ini, izinkan saya memohon maaf kepada semua Jongos kerana kesibukan telah membataskan masa saya sekaligus menyebabkan blog ini gagal dikemakinikan selama hampir dua bulan. Maafkan saya untuk itu. Namun saya kira adalah lebih baik jika Jongos semua dapat menyumbangkan apa sahaja bentuk artikel, link, aktiviti atau idea untuk kita kongsikan bersama di sini bagi mengimarahkan lagi The Jong's. Anda boleh post artikel terus ke sini atau emailkan kepada saya. Terserah anda. Di kesempatan ini juga, ingin saya mengucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada Jong Ezwan dan pasangannya, Ezan KLFM yang akan melangsungkan perkahwinan pada tanggal 23 Disember 2007. Dengan ini maka lengkaplah episod The Jong's untuk musim 2007 dengan pengakhiran yang sempurna.

Untuk 2008, selamat datang di ucapkan. Tiada hadiah yang lebih bermakna pada permulaan tahun 2008 ini, selain dari kepulangan yang di nantikan. Kepulangan yang akan didendang oleh semua The Jong's, kepulangan yang akan mengisi setiap inci ruang sunyi 'Kotak Merah'.Dan kepulangan yang bakal mengejutkan Ayai ILLUSI. Tidak lain dan tidak bukan, tiada dia melainkan dia sahaja, itulah dia, Sheikh Safuan Al-Peah yang akan kembali menghirup udara di bumi khatulistiwa ini pada tarikh 4 Januari 2008. Kepada Jong Peah saya ucapkan selamat kembali dan selamat menemui kembali Cinta yang tertinggal di Malaysia.

Sabtu, 29 September 2007

Tysim dalam kenangan



Perkara yang paling pelik dalam dunia ini adalah kenangan. Tidak kiralah pahit atau manis, baik atau buruk, indah atau jelik, yang pasti semua punya nilai dan estetikanya yang tersendiri. Semuanya akan berasak menghuni setiap inci ruang bahagian akal yang kekal. Biar sekuat mana pun kita cuba untuk mengosongkan ruang ini, ia akan kekal di situ dan sebati sehingga akal ini berhenti berfungsi. Begitulah yang saya rasakan ketika ini. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini saya begitu merindukan rumah Tysim yang dulunya kerap menjadi destinasi pelepas tekanan bagi kita semua. Di sana segalanya bebas. Bebas dalam erti bebas menjadi diri sendiri. Melakukan apa yang kita suka dengan tenang dan nyaman tanpa pengaruh persekitaran.

Di sana kita dapat menikmati hari-hari sentosa yang selama ini kita abaikan demi komitmen yang lainnya. Di Tysim atmosferanya ternyata menyenangkan. Sukar untuk saya terjemahkan dalam perkataan kerana tiada perkataan yang dapat menterjemahkan rasa tersebut dengan tepat. Tanyakan saja pada Zia, berapa ekor nyamuk disepanjang pantai Teluk Kemang yang berjaya dibunuhnya dengan semburan aeresol? Gila tapi benar. Tanyakan pula pada butet berapa ekor nyamuk yang mati kekenyangan menghisap darahnya saat dia membungkang tak sedarkan diri di lantai ruang tamu? Ini juga kisah benar. Lihat pula kesan sunburn yang dialami oleh Peah berpunca dari tabiatnya yang gemar berkubang di pantai. Ini adalah antara kenangan pelik yang terangkum di rumah Tysim yang sungguh luarbiasa.

Terus-terang saya katakan, saya sangat terhibur bila berada di sana. Segala aktiviti dapat dilaksanakan. Dari bermain bola ke sepak takraw yang menggunakan kerusi plastik sebagai jaring ( Peah selalu bermain cheneke untuk menang ). Selepas puas bertandak, berlarilah kita semua ke pantai untuk menikmati air masin yang semakin masin di port dickson. Selepas sahaja mandi, kantung perut perlu diisi. Majulah kita semua waktu itu ke restoran seafood di seberang jalan bagi menikmati makan malam. Betapa indah kenangan ini. Walaupun pernah ada sedikit gangguan dari si rempit durjana waktu malam merdeka kita di sana. Namun itu tidak pernah sedikit pun mencacatkan keabadian Tysim yang tersergam putih lagi bersih.

Saya adalah entiti yang percaya bahawa kita hidup hari ini adalah untuk masa depan dan bukan sebaliknya. Namun ada ketika dan waktunya kenangan itu bisa membuat kita terfikir sejenak, Apakah yang kita kejarkan hari ini lebih nyaman dari yang semalamnya?

Sabtu, 22 September 2007

Kotak Merah



Saya tahu pasti ada yang tersenyum melihat gambar ini. Untuk yang kurang pasti atau buat-buat tidak pasti, ini adalah kad ahli untuk kelab karaoke Kotak Merah. Saya kurang pasti nama malaun mana yang tertera pada kad tersebut. Tapi satu kepastian yang tiada kompromi, kad ini adalah milik kita bersama. Dalam erti kata lain, ianya milik The jong's. Kad ahli ini adalah sumbangan ikhlas dari Sheikh Safuan yang dilanggani sebelum pemergian beliau ke timur tengah. Kad ini selamat sampai ke peti surat rumah saya pada hari Jumaat bersamaan 21 Oktober 2007. Bukan itu sahaja, kad tersebut didatangkan bersama vaucer tunai bernilai RM 50 dan percuma dua jag minuman berkarbonat. Dan ianya sah sehingga 15 November 2007.

Memandangkan kita telah lama tidak aktif dalam aktiviti karaoke ini, maka saya merasakan situasi ini seperti pucuk dicita, ulam mendatang. Dan ianya tidak seharusnya kita lepaskan begitu sahaja. Jadi saya amat berharap maklum balas dari anda semua berkenaan dengan masa dan lokasi yang sesuai untuk kita bersama menikmati peluang terbaik ini. Seperti kebiasaannya setiap sesi karaoke kita mempunyai temanya yang tersendiri. Dan untuk kali ini, saya ingin mencadangkan agar tema kali ini kita namakan Tribute to Peah sebagai ucapan terima kasih kita semua kepada sumbangan ikhlas ini.

Dan untuk sesi karaoke itu nanti, pada jam yang pertama hanya lagu-lagu yang pernah didendangkan atau menjadi kegemaran Peah sahaja akan dibenarkan berkumandang. Ini peraturannya. Tiada sesiapa akan terkecuali. Jadi pada jam yang pertama disesi karaoke itu nanti, tidak akan ada kedengaran lagu Fazli Zainal, Faizal Tahir, Anuar Zain atau Hattan. Begitu juga dengan lagu Nusa bangsa dan lagu Ruth Sahanaya. Namun selepas tamat jam yang pertama anda bebas untuk medendangkan lagu kegemaran anda semua. Ketika itu berkaraokelah kita semua sampai lebam. Berkaraokelah dengan cemerlang, gemilang dan terbilang!

Segala cadangan dan idea boleh di utara-selatankan di ruangan komen pada artikel ini. Kerjasama dari semua jong amat dibutuhkan.

Sabtu, 8 September 2007

Ramadhan


Hampir seminggu Sheikh Peah bermukim dijazirah arab. Merentasi benua dan mengharungi perjalanan yang panjang, tentunya satu pengalaman yang cukup menarik. Melihat kiriman gambar dari beliau (sila lihat gambar yang dikirimkan di photobucket atau klik pada link Jong's on vacation), dapat disimpulkan bahawa keadaan di sana lebih baik dari apa yang kita semua bayangkan. Dengan kediaman yang selesa dan makanan yang lebih dari cukup, saya kira Sheikh Peah pastinya tersenyum lega (sehingga menampakkan gigi besinya).

Ketiadaan Sheikh Peah selama seminggu ini telah memperlihatkan komplikasi yang serius pada aktiviti pergerakan kita. Ini perlu kita semua akui. Tiada Karaoke, hartem dan The Curve (sambil menikmati meatball 10 di ikea). Segalanya lumpuh. Semuanya seperti hilang punca. Ini ditambah pula dengan ketiadaan Santa yang menerima kehadiran cahaya mata dan persiapan untuk berpindah (Tahniah di ucapkan kepada Santa dan Faz. Buat jong's sekalian, mari kita berkongsi membeli hadiah. Kepada Sheikh Peah, jgn ingat ante terlepas, ante antar itu hadiah pakai courier la).

Jadi sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan semula kredibiliti pergerakan kita. Untuk itu saya cadangkan kita menghidupkan kembali tradisi kita sebelum ini, iaitu berbuka puasa bersama sebagai mengimarahkan lagi kemunculan kembali Ramadhan Al-Mubara' ini. Jika dulu lokasinya adalah di rumah Santa, kali ini mungkin kita perlu menukar lokasi memandangkan Santa baru sahaja berpindah dan pastinya akan menyulitkan beliau. Kepada sesiapa yang mempunyai cadangan tentang tarikh dan tempat, sila kemukakannya diruangan komen. Kerjasama dari semua amat dialu-alukan.

p/s:Buat Sheikh Peah, semoga selamat menjalani ibadat puasa dan terawih. Dan jangan lupa kirimkan gambar.

Rabu, 29 Ogos 2007

Kuala Kangsar dan susiorr..




Di atas ini merupakan gambar percutian ke Kuala Kangsar yang telah berlangsung pada 3 Ogos 2007 dengan disertai oleh jong Santa, jong Peah, jong Totti dan juga Faz. Awal perancangannya, jong Apiss juga dijangkakan turut serta, namun di atas urusan peribadi beliau terpaksa menarik diri dan sekaligus tergolong dalam golongan orang-orang yang mungkir janji. Kami memulakan perjalanan sekitar jam 10.30 malam sesudah menjamu selera di rumah jong santa. ( Terima kasih kepada ibunda jong santa yang bersusah payah menyediakan makanan untuk kami terutama jong peah yang terkenal dengan sifat pemakannya.)

Diringkaskan cerita, kami tiba ke destinasi iaitu di rumah nenek jong santa lebih kurang jam 3.00 pagi. Suasana di sana sangat sunyi dan sejuk. Pagi itu kami menhabiskan masa dengan tidur untuk merehatkan badan bagi aktiviti tengaharinya pula. Ini adalah kali pertama bagi saya menjejakkan kaki ke bumi Kuala Kangsar. Saya begitu teruja, lebih-lebih lagi bila dikhabarkan jika bertandang ke sana jangan lupa menikmati laksa dan cendol kuale. Jadi pada tengaharinya kami pun bersiap pergi ke pekan Kuala Kangsar. Saya juga sebenarnya teringin sekali melihat MCKK yang selalu diceritakan banyak orang sebagai sekolah elit melayu.

Memang suasana di sana agak lenggang dan kebanyakkan warganya adalah golongan tua. Jangan ditanya tentang gadis pap-pap di sini. Kami pergi ke medan selera untuk menikmati laksa dan cendol yang tersohor itu. Harapan saya terhadap laksa dan cendol ini begitu tinggi. Tetapi sesudah saya menikmati laksa telur dan cendol tersebut, keterujaan dan persepsi saya terhadap Kuala Kangsar ini terus berubah. Terus-terang saya katakan, saya amat-amat kecewa dengan masakan yang telah saya nikmati di sana. Terlalu jauh dari sedap. Ternyata jong Peah juga sependapat dengan saya.

Kesokan paginya kami bersiap lebih awal untuk menikmati sarapan pagi di luar. Kali ini saya tidak memasang apa-apa harapan untuk sarapan pagi tersebut. Sebaik keluar kami disapa oleh Tok Tar, iaitu atuk sedara kepada jong Santa. Ternyata hubugan ukhwah di sana masih ampuh. Jauh berbeza dengan kita di sini. Kami meneruskan perjalanan ke pekan Kuale untuk menikmati sarapan pagi. Saya benar-benar bersyukur, setidak-tidaknya sarapan pagi itu telah mengubati sedikit kekecewaan saya yang semalamnya. Semua kami menikmati dua keping roti canai tersebut setiap seorang.

Kebetulan pada hari tersebut terdapat ekspo yang menjual pelbagai barangan dari pakaian sehingga khidmat urutan. Tanpa berfikir panjang jong Peah pun mencuba urutan yang terdapat di situ. Setelah dikelentong oleh si tukang urut, jong Peah bersetuju untuk membeli ubat sarang burung yang tidak mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Ianya cuma diluluskan oleh SIRIM sahaja, itu pun mengikut cakap si tukang urut tanpa sebarang bukti bertulis. Jadi kesimpulannya, percutian ini walaupun bukan yang terbaik namun ianya tetap menjadi satu kenangan manis.

Untuk percutian ini saya bagi 2 bintang dari kseluruhan 5 bintang.